ESEI INDIVIDU (JURNAL REFLEKTIF)
NURSYUHADA BINTI MUHAMAD
1819624
BMCO 3102 (KESANTUNAN BERBAHASA)
ISI KANDUNGAN
1.0 Pendahuluan …. …. …. …. …. …. … 01
1.1 Penghargaan …. …. …. …. …. … 02
1.2 Objektif Reflektif …. …. …. …. …. 02
2.0 Kekangan Yang Dihadapi …. …. … ….. …… ….. 03
3.0 Aplikasi Teori Dalam Kehidupan/proses pembelajaran … … ….. 04-06
4.0 Pengalaman berharga …. …. …. …. …. …. 07
5.0 Kesimpulan …. …. …. …. …. … …. 08
BIBLIOGRAFI …. …. …. …. …. …. … 09
1.0 PENDAHULUAN
Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh suatu masyarakat tertentu sehingga kesantunan sekaligus menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. Definisi bagi kesantunan berbahasa merujuk kepada nilai beradab dan sopan melibatkan pertuturan yang elok, halus dan indah serta sikap yang memancarkan budi pekerti mulia. Sebagai contoh, perkara berbentuk cara sapaan, gaya bahasa dan perilaku seseorang menunjukkan bagaimana kesantunan itu terbentuk dan berfungsi dalam pertuturan.
Pengkaji yang menggunakan kesantunan berbahasa sebagai fokus kajian dilihat banyak menggunakan teori-teori yang relevan dan sesuai dengan konteks kajian yang dilakukan. Selain itu, kajian dalam kesantunan berbahasa menyentuh pelbagai perkara seperti aspek kesantunan dari perspektif Islam, intonasi dan nada bercakap, lakuan tutur dalam masyarakat dan pelbagai lagi. Ahli bahasa mewujudkan pelbagai perspektif dan pandangan mereka tersendiri mengenai konteks kesantunan berbahasa ini. Perkara seperti situasi kesantunan berbahasa di negara sekarang menyumbang kepada sudut pandangan yang berbeza. Kesantunan berbahasa dilihat tidak begitu diamalkan oleh semua golongan. Hal ini adalah kerana negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan pecahan etnik yang berbeza.
Seterusnya, penulisan ini adalah bertujuan untuk menceritakan kekangan yang dihadapi, iaitu jenis permasalahan yang berlaku dan bagaimana perkara tersebut memberi kesan kepada saya. Seterusnya, penulisan ini juga untuk mengetengahkan aplikasi teori dalam kehidupan serta proses pembelajaran yang dilaksanakan oleh saya hasil pembelajaran dalam ilmu kesantunan berbahasa. Seperkara lagi, penulisan ini juga adalah untuk menyatakan pengalaman berharga yang diperoleh saya.
01
1.1 PENGHARGAAN
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat illahi atas nikmat kesihatan serta kekuatan yang telah dikurniakan semasa proses penulisan blog ini dilakukan. Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pensyarah subjek Kesantunan Berbahasa (BMCO 3102) yang cukup dihormati iaitu Dr. Arina Binti Johari kerana telah memberi ruang kepada saya untuk berkongsi dan memberi inspirasi di dunia blog ini tentang apa yang telah saya lalui. Segala tunjuk ajar dan dorongan yang telah banyak dikongsikan amat berguna kepada saya. Malah, kekurangan yang ada sedikit sebanyak dapat dielakkan atas kerjasama dan budi serta jasa puan kepada kami.
Seterusnya, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada ahli keluarga yang tidak putus membantu serta memberikan sokongan semasa menyiapkan penulisan blog ini. Akhirul kalam, buang yang keruh ambil yang jernih. Wallahu alam, terima kasih.
1.2 OBJEKTIF REFLEKTIF
Penulisan ini dibuat adalah bertujuan untuk:
1. Menyatakan kekangan yang dihadapi dalam bidang pragmatik.
2. Menjelaskan aplikasi teori dalam kehidupan serta proses pembelajaran yang diperoleh dalam bidang pragmatik.
3. Mengenalpasti pengalaman berharga yang diperoleh dalam bidang pragmatik.
02
2.0 KEKANGAN YANG DIHADAPI
Kesantunan berbahasa bersifat halus dan sopan dalam sudut perspektif masyarakat. Menurut Zamzani, dkk. (2010: 2), kesantunan merupakan perilaku yang diekspresikan dengan cara yang baik atau beretika. Fungsi kesantunan adalah untuk mewujudkan suasana yang tenang dan terhindar dari konflik sewaktu ujaran diucapkan oleh penutur. Kesantunan merupakan fenomena kultural, sehingga apa yang dianggap santun oleh suatu kultur mungkin tidak demikian halnya dengan kultur yang lain. (Tria Setrioni. et al., 2018). Oleh itu, bidang kesantunan berbahasa telah menyebabkan beberapa kekangan telah dihadapi oleh saya semasa proses pembelajaran berlaku.
Antara kekangan yang dihadapi termasuklah pengurusan masa sepanjang kelas dalam talian, iaitu Remote Teaching Learning (RTL) dijalankan. Pada kebiasaannya setiap semester akan berlangsung selama 14 minggu, namun tidak pada semester kali ini. Hal ini adalah kerana tempoh bagi semester ini dipendekkan menjadi 12 minggu sahaja. Tempoh pembelajaran secara maya ini menjadikan tempoh pembelajaran menjadi terhad selama empat bulan sahaja. Hal ini menyebabkan saya untuk sentiasa fokus terhadap semua perkara seperti kelas dan komitmen dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Bukan itu sahaja, saya juga menghadapi kekaburan maklumat dalam memahami tugasan yang perlu disiapkan.
Selain itu, saya juga memerlukan pemahaman yang lebih dalam bidang kesantunan berbahasa ini. Pengalaman dahulu semasa menjalankan kajian dalam bidang kesantunan berbahasa ini sememangnya memberikan saya banyak pendedahan awal mengenai bidang tersbeut. Namun, setelah mempelajari bidang ini saya sedar bahawa masih terdapat perkara kesantunan yang saya tidak ketahui. Contohnya, nada dan intonasi yang memainkan peranan penting dalam bidang kesantunan yang juga tercakup dalam bidang pragmatik. Hal ini sangat berbeza dengan dapatan sebelum ini yang berasaskan pendapat responden mengenai kesantunan semata-mata. Pendedahan yang lebih mendalam mengenai bidang ini memerlukan saya membuat pembacaan lanjut dalam artikel serta makalah dalam talian. Saya turut menggunakan teknik ini dalam menyiapkan tugasan yang diberikan sebagai sumber rujukan dan pemahaman sekunder.
Kesimpulannya, saya telah menghadapi beberapa kekangan sepanjang mempelajari bidang kesantunan berbahasa. Hal ini telah menyebabkan saya sentiasa berusaha lebih dalam memahami topik dan mencapai pemahaman yang diingini menerusi teori, tajuk, kajian serta tugasan yang telah diberikan.
03
3.0 APLIKASI TEORI KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KEHIDUPAN
Walaupun tidak sepenuhnya menggunakan Teori Kesantunan sebelum ini, namun teori yang dipelajari amat berguna. Teori Kesantunan ada banyak kegunaanya yang boleh diamalkan oleh semua golongan di negara.
Saya amat menitikberatkan penggunaan gaya bahasa yang betul sewaktu menjalani pembelajaran secara dalam talian. Perkara ini memerlukan penyusunan kata yang sopan dan betul dalam pertuturan secara maya. Hal ini adalah kerana perbualan yang digunapakai sepanjang pandemik berlaku adalah kiriman berbentuk suara atau mesej. Awang Sariyan memperkenalkan konsep kesantunan sebagai pematuhan terhadap peraturan yang wujud dalam bahasa sesebuah masyarakat. Menurut beliau lagi, kesantunan berbahasa oleh masyarakat Melayu ditunjangi oleh kepatuhan terhadap agama dan mendefinisikan kesantunan itu sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada lawan tutur. Perkaitan teori Awang Sariyan dalam kesantunan masyarakat Melayu berfokuskan kepada konsep Islam iaitu Amar Maaruf Nahi Mungkar (menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran). Gaya bahasa yang sopan mampu mengindarkan perbuatan yang mungkar seperti mengeji, bersangka buruk, memarahi mahupun memfitnah perbuatan seseorang. Sewaktu pembelajaran dalam talian, saya akan mengetahui terlebih dahulu kestabilan emosi sebelum menghantar pesanan kepada seseorang (Amar Maaruf). Perkara ini adalah penting untuk mengelakkan permusuhan yang tidak diingini (Nahi Mungkar).
04
Selain itu, sebagai seorang pelajar Muslim saya juga mengaplikasikan teori Awang Sariyan semasa berinteraksi dengan orang luar. Secara umumnya, masyarakat di luar sana merupakan orang yang sangat asing bagi kita. Namun, persaudaraan itu amat dituntut dalam Islam. Tuntutan menjaga hubungan baik sesama manusia adalah digalakkan meskipun tidak mengenali antara satu sama lain. Kata sapaan yang sopan dalam kalangan masyarakat akan mewujudkan hubungan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Hal ini adalah kerana,
Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui (Surah An-Nisa 4 :148)
Berdasarkan surah tersebut, Islam melarang umatnya untuk bercakap buruk dan menunjukkan tingkah laku yang kurang sopan. Adab Melayu juga tidak mendidik sama sekali masyarakat Melayu untuk bertindak kurang sopan di hadapan orang lain. Hal ini kerana masyarakat Melayu terkenal dengan adab serta tatasusilanya yang sopan. Sewaktu berinteraksi bersama masyarakat, saya akan sentiasa menjaga tingkah laku serta pertuturan lisan yang sopan. Sebagai contoh, ketika saya menyertai program ilmiah anjuran jurusan Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa di Instagram, saya akan bertanyakan soalan dengan sopan dan tertib di ruang komen. Tambahan lagi, jika saya kurang bersetuju dengan pendapat seseorang, saya akan menerimanya dengan hati terbuka dan tidak berbalah antara satu sama lain. Hal ini adalah bagi mengaplikasikan teori Awang Sariyan yang menunjukkan penghormatan kepada lawan tutur.
05
Seterusnya, saya juga mengaplikasikan Prinsip Kesopanan Leech menerusi Maksim Simpati. Pembelajaran dalam talian menjadikan para pelajar memerlukan sokongan antara satu sama lain. Hal ini adalah kerana kami menghadapi tekanan dan masalah yang sama. Maksim simpati (Symptahy Maxim) memerlukan pertuturan bersifat asertif (tegas dan terus terang) dan ekspresif (penuh perasaan). Dalam menyampaikan rasa simpati, pertuturan yang diujarkan haruslah mempunyai input perasaan dan dapat difahami oleh lawan tutur. Saya kerap memberikan semangat dan kata-kata perangsang untuk membangkitkan semula semangat mereka. Contohnya,
A: Tidak bersemangatlah pada hari ini.
B: Kamu boleh, percayalah pada diri kamu. Saya akan sentiasa mendoakan kejayaan kamu.
Ujaran tersebut jelas menunjukkan pengaplikasian Prinsip Kesopanan Leech dalam kesantunan berbahasa. Hal ini juga sedikit sebanyak memberikan kata-kata semangat buat diri saya untuk meneruskan pembelajaran dalam talian ini.
Kesimpulannya, teori kesantunan Awang Sariyan dan Prinsip Kesopanan Leech telah banyak membantu saya dalam menghadapi kekangan yang dihadapi. Pengaplikasian teori menunjukkan perkaitan sebagai seorang Muslim yang mengamalkan kesantunan dalam hidupnya. Perkara seperti ini amat diperlukan supaya dapat terus diamalkan sehingga ke generasi akan datang.
06
4.0 PENGALAMAN BERHARGA BERKAITAN KESANTUNAN BERBAHASA
“Pengalaman mematangkan kita”. Sudah acap kali kita dengar kata perangsang tersebut. Sepanjang mempelajari ilmu kesantunan berbahasa, terdapat beberapa pengalaman berharga yang telah diperoleh.
Ilmu kesantunan berbahasa merupakan ilmu yang sangat baharu bagi saya. Sepanjang mengambil kursus ini, saya menerima banyak pendedahan mengenai tokoh-tokoh kesantunan berbahasa di negara kita. Sebagai contoh, Awang Sariyan (2007), Asmah Haji Omar (2000), Tenas Effendy (2011) dan Leech (1983). Melalui pendedahan tokoh tersebut, saya banyak mempelajari ilmu kesantunan berbahasa dari pelbagai perspektif seperti perspektif Islam dan perspektif akademik. Tambahan pula, hujah yang diberikan oleh mereka juga menarik dan sesuai untuk dijadikan landasan dalam sesuatu kajian pragmatik. Tanpa sedar, saya telah mengamalkan kesantunan dari sudut mereka sejak dahulu lagi.
Selain itu, pengalaman mengendalikan program forum Santai Santun secara dalam talian merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Hal ini adalah kerana usaha keras yang dikeluarkan berhasil dan tidak merugikan sama sekali. Saya dapat mengasah bakat dalam kepimpinan dalam kumpulan. Perkara ini membantu saya untuk tampil berani mengelola satu biro iaitu Penyelaras Program sebagai ketua kumpulan. Selain itu, perkongsian yang diberikan pada hari tersebut sedikit sebanyak membantu saya untuk menambah lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada. Gabungan tetamu jemputan juga menjayakan lagi majlis kerana perkongsian yang sangat hebat walaupun berbeza sudut iaitu agama dan juga budaya.
Kesimpulannya, sepanjang mempelajari ilmu kesantuan berbahasa, saya telah memperoleh banyak pengalaman berharga. Perkara ini juga telah banyak memberikan input kepada saya untuk terus mengamalkan kesantunan dalam kehidupan seharian.
07
5.0 KESIMPULAN
Pada pendapat saya, walaupun saya baru sahaja mempelajari bidang kesantunan ini akan tetapi bidang ini merupakan bidang yang seharusnya diketengahkan lebih-lebih lagi di negara kita. Masyarakat yang berbilang kaum sudah tentu mempunyai nilai kesantunan yang tersendiri. Sebagai seorang pelajar Muslim, saya begitu percaya bahawa perintah Allah SWT dalam menyuruh menjaga hubungan sesama manusia itu banyak hikmahnyya. Hal ini adalah disebabkan keharmonian sebuah hubungan itu sudah pasti bermula daripada adab dan kesopanan seseorang.
Terdapat masyarakat yang kurang pendedahan terhadap kepentingan ilmu kesantuan berbahasa ini. Mereka menganggap zaman mereka dahulu sudah banyak ilmu yang telah diajar kepada mereka. Kesimpulannya, saya berharap agar masyarakat dapat menerapkan ilmu kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian, iaitu dari segi tingkah laku dan gaya bahasa dalam pertuturan.
08
BIBLIOGRAFI
Ayuni Binti Mohamad Bakari. (2017). Kesantunan Berbahasa Dalam Drama Zahira. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.
Handro Steve Natanael. et al. (2015). Kesantunan Berbahasa Dalam Bersosial Media. Sekolah Menengah Atas, Jakarta, Indonesia.
Tria Setrioni. et al. (2018). Makalah Santun Berbahasa. Jurnal Pendidikan Guru Sekolah Dasar Fakultas Ilmu Pendidikan, Universiti Negeri Semarang, Indonesia.
Yeri Septianti Putri. et al. (2019). Etnografi Bahasa: Sikap Bahasa Dan Kesantunan Berbahasa. Program Studi Pendidikan Bahasa Indonesia, Jurusan Pendidikan Bahasa dan Seni, Fakultas Keguruan Dan Ilmu Pendidikan, Universitas Bengkulu, Indonesia.
Sara Beden. (2019). Prinsip Dan Strategi Kesantunan Penulisan Dalam Artikel Ruangan Agenda Bahasa. Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak, Malaysia.
St. Mislikhah. (2014). Kesantunan Berbahasa. Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri (STAIN), Jember, Jawa Timur, Indonesia.
Vinsca Sabrina Claudia. et al. (2018). Prinsip Kesantunan Berdasarkan Maksim Leech Dalam Kumpulan Naskah Drama Geng Toilet Karya Sosiawan Leak Dan Relevansinya Sebagai Bahan Ajar Teks Drama Di Sekolah Menengah Atas. Indonesia.
09
Comments
Post a Comment